AKTA PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Pengenalan:
Akta Pendidikan Pendidikan 1996
adalah merupakan lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran 1961. Tujuan Akta
Pendidikan 1996 ini ialah ke arah memantapkan sistem pendidikan kebangasaan
untuk generasi akan datang sejajar dengan kehendak dan cita-cita negara untuk
menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi
dan bertaraf dunia. Walaupun Akta Pendidikan 1996 merupakan perundangan yang
baru, ia menampilkan kesinambungan kepada hasrat dan dasar pendidikan yang
sedia ada. Ia berpaksi kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang
menjadi asas dasar pendidikan kebangsaan selama ini. Akta baru ini juga banyak
mengekalkan peruntukan yang masih relevan daripada Akta Pelajaran 1961. Tujuan
menggubalkan undang-undang ini (Akta Pendidikan 1996) ialah untuk memperluaskan
skop dan memperkenalkan perundangan mengenai pendidikan.
Sambil mengambilkira aspirasi semua
kaum di dalam masyarakat majmuk di Malaysia, Akta Pendidikan 1996
memperkenalkan banyak peruntukan perundagan (Legislative provision) baru untuk
menangani cabaran pendidikan menjelang abad ke-21 dan memenuhi kehendak atau
hasrat Wawasan 2020. Dalam pada itu juga, beberapa peruntukan Akta Pelajaran
1961 yang tidak relevan telah digugurkan.
Telah dikatakan bahawa Laporan Razak
boleh dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan
yang telah digunakan. Ciri-ciri penting dalam pendidikan kebangsaan itu ialah:
- Hasrat untuk membentuk satu
sistem pendidikan kebangsaan bagi semua kaum.
- Untuk menjadikan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar utama .
- Untuk menjadi kurikulum yang
berorientasikan kepada alam keliling tanah air dengan mewujudkan sukatan
pelajaran yang sama isi kandungannya.
- Untuk memperkukuhkan sistem
pendidikan kebangsaan bagi semua pelajar di negara ini.
Laporan Razak
Laporan Razak (Penyata Razak)
mempunyai 17 cadangan dengan mengambilkira matlamat akhirnya membentuk satu
sistem pendidikan kebangsaan. Di antara perkara yang diperkatakan ialah:
- Semua sekolah di tanah air
mempunyai sukatan yang sama
- Bahasa Melayu dijadikan
bahasa Kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama.
- Bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah.
- Bagi sekolah jenis
kebangsaan, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil menjadi bahasa pengantar.
- Sekolah-sekolah rendah
ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar utama.
- Penubuhan satu jenis sekolah
sahaja yang terbuka kepada semua kaum.
- Guru-guru sekolah rendah dan
menengah adalah bekelayakan.
- Sistem pendidikan sekolah
menengah adalah Sekolah Menengah Rendah (SMR), Sekolah Menengah Atas (SMA)
dan Pra Universiti.
- Semua guru diletakkan di
bawah satu perkhidmatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan
ditubuhkan.
Selepas daripada Penyata Razak
ini maka telah disesuaikan lagi sistem pendidikan kita ini oleh Abdul Rahman
Talib yang dikenali sebagai Laporan Talib (1960) yang seterusnya menjadi Akta
Pelajaran 1961.
Laporan Rahman Talib (1960) /Akta Pelajaran 1961
Di antara beberapa perubahan
dan pindaan yang dibuat dari Laporan Razak yang dikenali dengan Laporan Rahman
Talib ialah:
a. Pelajaran
di sekolah rendah adalah percuma
b. Sekolah
rendah menjadi sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
c. Sekolah
pelajaran lanjutan merupakan persekolahan hingga umur 15 tahun.
d. Murid
naik darjah secara otomatik
e. Pelajaran
agama Islam bagi murid-murid hendaklah sekurang-kurannya 15 orang.
f. Pendidikan
akhlak dititikberatkan.
Selepas itu Sistem Pendidikan Anika
Jurusan ditubuhkan pada 1965 bagi Sekolah Menengah Rendah menggantikan Sistem
Pelajaran Lanjutan yang dihapuskan. Mata pelajaran aneka jurusan di sekolah
menengah pada waktu itu ialah Seni Perusahaan, Sains Rumah tangga, Sains
Pertanian dan Perdagangan.
Walaupun hasrat dan tujuan Akta
Pendidikan 1961 ini untuk menyatukan kaum yang ada di Malaysia ini, tetapi
secara praktikalnya, sukar untuk mencapai matlamat itu memandangkan pola tempat
tinggal yang berlainan. Misalnya orang Melayu tinggal di kampung-kampung dan
pinggir pantai, kaum Cina tiggal di kawasan perlombongan dan kaum India di
kawasan ladang-ladang getah. Dengan ini tentulah amat sukar untuk menyatukan
mereka.
Selepas dari Laporan Rahman Talib 1960,
muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan Laporan
Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah untuk mengkaji semula Dasar
Pendidikan Negara yang sebelumnya berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman
Talib.
Laporan Hussein Onn (1971)
Jawatankuasa laporan ini
diketuai oleh Hussein Onn yang menjadi Mentei Pelajaran ketika itu.Tujuan utama
Laporan ini selain dari untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara ketika
itu, juga adalah untuk menyediakan pendidikan dasar bagi semua kanak-kanak dalam
lingkungan umur bersekolah. Ini dapat ditampung dalam sekolah-sekolah aliran
Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
Ketika itu, di sekolah-sekola kerajaan
dan bantuan kerajaan masih dijalankan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris
dan bahasa Melayu. Menurut laporan ini:
"Sistem pendidikan kebangsaan
direkabentuk untuk memenuhi keperluan negara dan mempertingkatkan pembangunan
budaya, sosial. Ekonomi dan politik. Jadi mulai 1968 bahasa Melayu telah mula
menggantikan bahasa Inggeris secara berperingkat-peringkat sebagai baasa
pengantar di sekolah-sekolah aliran Inggeris.
(Laporan Hussein Onn, 1971)
Walaupun kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara, namun kedudukan bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua turut dipelihara. Ini di atas rasa kesedaran
bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang amat penting dan
penguasaan bahasa itu boleh mempetingkatkan pembangunan negara.
Bahasa Inggeris adalah diwajibkan di
semua sekolahh kerana kepentingannya dalam pendidikan tinggi ddan perdagangan
dan juga hal- ehwal antarabangsa. Peringkat penguasaan bahasa Inggeris yang
tinggi menjadi sasaran sistem pendidikan. Masa mengajar bahasa Inggeris
ditambah dan guru-guru diberi latihan untuk hasil yang baik. Bahasa Inggeris
terus menjadi bahasa kedua.
(Laporan Hussein Onn, 1971)
Laporan Mahathir (1985)
Pada bulan september 1974,
kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh
Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri, Dr, Mahathir Mohamad. Laporan
ini bertujuan:
Untuk mengkaji semula matlamat-matlamat
dan keberkesanan sistem pendidikan yang diamalkan sekarang, dengan tujuan
memastikan keperluan tenaga manusia negara dipenuhi dalam jangka pendek dan
jangka panjang di samping untuk memastikan sistem pendidikan ini memenuhi
matlamat negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan
terlatih.
(Laporan Mahathir, 1976)
Tujuan laporan ini adalah sama dengan
apa yang didapati dalam laporan Husein Onn. Matlamat utama tidak lain dan tidak
bukan untuk menyatupadukan rakyat seperti yang terdapat dalam Akta Pendidikan
1961. Sebagai langkah utama alat perpaduan ialah pendidikan. Input penting dalam
pendidikan ini ialah bahasa. Oleh itu aspek bahasa telah menjadi penekanan.
Dalam Laporan ini matlamat pendidikan bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) sebagai
bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan bahasa untuk menyatukan rakyat
haruslah lengkap dan jelas supaya guru-guru mendapat gambaran yang sebenar
sebagai panduan pengajaran harian mereka.
Dalam laporan ini kursus bahasa
Malaysia dalam perkhidmatan kepada guru-guru harus dikaji semula dan penilaian
terhadap keupayaan mereka yang telah mengikuti kursus tersebut harus dijalankan
secepat mungkin. Kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tetap dijamin.
Ada dua tujuan bahasa Inggeris diajar diinstitusi pendidikan pada waktu itu:
a. Untuk membolehkan
murid-murid menggunakan bahasa tersebut dalam kerja dan aktivitinya.
b. Untuk meningkatkan kemahiran dan
pengetahuan mereka untuk digunakan bagi tujuan pendidikan tinggi.
Akta Pendidikan 1996
Falsafah Pendidikan Negara
dijadikan landasan Akta Pendidikan Kebangsaan yang digubal setelah
mengambilkira pandangan dan aspirasi semua pihak.
Dalam Akta Pendidikan, konsep sistem
pendidikan kebangsaan dimantapkan dengan meliputi semua peringkat persekolahan
dari peringkat pra sekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi, dan meliputi
semua kategori sekolah, iaitu sekolah kerajaan , sekolah bantuan kerajaan dan
sekolah swasta.
Kedudukan Bahasa kebangsaan
diperkukuhkan dengan memperuntukkannya sebagai bahasa pengantar utama dalam
sistem pendidikan kebangsaan. Ini diperkuatkan lagi dengan menjadikan bahasa
tersebut sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di semua sekolah dan
institusi pendidikan.
Kurikulum semua jenis dan kategori
sekolah akan selaras dengan kehendak negara apabila Kurikulum Kebangsaan, yang
diperuntukkan dalam Akta Pendididkan 1996 wajib diguna oleh semua pihak.
Murid-murid dari semua jenis dan
kategori sekolah akan disediakan untuk mengambil peperiksaan yang ditetapkan
oleh kerajaan dan oleh itu akan memudahkan kita menggunakan penilaian atau
pengukuran yang sama tentang pencapaian murid-murid dari sekolah-sekolah di
negara kita.
Pendidikan Islam akan diperluaskan
utnuk meliputi murid-murid Islam di semua kategori sekolah termasuk sekolah
swasta dan diperkukuhkan dengan menjadi pelajaran tersebut sebagai salah satu
daripada pelajaran teras di sekolah-sekolah.
Dengan adanya peruntukan yang
membolehkan Menteri Pendidikan menubuhkan dan menyenggara tadika, maka dari
keluarga yang kurang berada di bandar-bandar, akan berpeluang mendapat
pendidikan prasekolah yang menjadi asas yang baik bagi memulakan pendidikan
rendah.
Mutu Program pendidikan di semua tadika
juga akan dapat dipertingkatkan kerana tadika-tadika ini akan diwajibkan
menggunakan Garis Panduan Kurikulum Prasekolah yang dikeluarkan oleh
Kementerian Pendidikan.
Sejajar dengan penumpuan terhadap usaha
membudayakan pendidikan sains dan teknologi, pendidikan teknik akan
dipertingkatkan di sekolah menengah teknik dan politeknik. Akta Pendidikan 1996
memudahkan sekolah vokasional ditukartarafkan ke sekolah teknik, manakala
politeknik boleh mengadakan program kerjasama dengan mana-mana institusi,
perbadanan atau organisasi perindustrian untuk mengendalikan kursus teknik atau
vokasional atau program latihan, termasuk program pertukaran. Politeknik juga
boleh mengadakan program bekembar bagi kursus peringkat diploma dan ijazah
dengan institusi-institusi pendidikan tinggi, sama ada dalam negeri atau luar
negeri.
Pendidikan guru akan dapat diperrkukuhkan
dengan adanya peruntukan yang membolehkan Kementerian Pendidikan mengadakan
progam pendidikan guru bukan sahaja di peringkat sijil, tetapi juga di
peringkat diploma dan ijazah, iaitu secara berkembar.
Pendidikan swasta akan dapat berkembang
secara lebih sistematik dengan adanya peruntukan yang spesifik bagi mengawal
taraf pendidikan dan perjalanan institusi-institusi tersebut. Dalam pada itu,
institusi pendidikan swasta juga boleh dikehendaki mengadakan pengajaran Bahasa
Kebangsaan, Pengajian Malaysia dan Pendidikan Islam atau Moral untuk memupuk
semangat cintakan negara dan nilai-nilai murni.
Pendidikan khas akan diberi perhatian
yang lebih dengan adanya peruntukan yang cukup bagi pendidikan tersebut.
Menyedari bahawa Malaysia adalah sebuah
negara berbilang kaum, dan berdasarkan pemuafakatan politik yang telah dibuat
oleh pemimpin-pemimpin negara yang dahulu, Akta Pendidikan 1996 mengambilkira
kepentingan semua kaum dengan cara mengekalkan status quo
sekolah rendah jenis kebangsaan dan juga 60 buah sekolah Cina
swasta. Di samping itu Unified Examination yang diambil oleh
sekolah-sekolah ini serta lembaga pengelola sekolah conforming dan
sekolahmission dikekalkan.
Akta Pendidikan 1996 juga turut
memperuntukkan pengajaran bahasa suku kaum di negara ini sekiranya didapati
munasabah dan praktik diadakan. Kelas-kelas agama seperti bible classes tidak
diperlukan mendaftar di bawah Akta Pendidikan 1996.
Perbezaan Dan Persamaan Antara Akta Pendidikan 1996 Dengan Akta
Pelajaran 1961
- 1.Landasan dan wawasan
Di dalam Akta Pendidikan 1996 dengan
jelas memberitahu kepada kita bahawa dasar pendidikan adalah berlandaskan
kepada hasrat wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Negara. Ini dijelaskan
seperti berikut:
DAN BAHAWASANYA tujuan pendidikan
adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan
nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta
bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan
maklumat.
DAN BAHAWASANYA pendidikan mempuunyai
peranan penting dalam menjayakan wawasan negara demi utnuk mencapai taraf
negara maju sepenuhnya dari segi kemajuan ekonomi, keadilan sosial, dan
kekuatan rohani, moral dan etika, ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang
bersatupadu, demokratik, liberal dan dinamik.
……………….
DAN BAHAWASANYA Dasar Pendidikan
Kebangsaan adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dizahirkan
seperti berikut:
"Pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah untuk menzahirkan warganegara Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berkhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara." (Akta Pendidikan 1996)
Di dalam Akta Pelajaran 1961 kita
dapati falsafahnya yang tidak tertulis dan tidak jelas. Yang kita dapati
hanyalah untuk menyatukan kaum di Malaysia selari dengan masyarkat yang
berbilang kaum. Ini dapat dilihat dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan mengikut
Laporan Razak yang menjadi asas kepada Akta Pelajaran 1961:
"Tujuan Dasar Pelajaran di dalam
negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa
di dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
pengantar yang besar, walapun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta
melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur."
(Penyata Razak, Perenggan 12)
- Sistem Pendidikan Kebangsaan
di semua peringkat
Seksyen 15 dan 16 dalam Akta Pendidikan
1996 telah memperjelaskan tentang Sistem Pendidikan Kebangsaan. yang meliputi
semua peringkat dan jenis sekolah atau institusi pendidikan kecuali sekolah
ekspatriat.
"The National Education System
shall comprise –
pre-School education;
primary education;
secondary education;
post-secondary education; and
higher education,
but shall not include education in
expatriate schools.
( Education Act 1996, sec.15)
"There shall be three categories
of educational institutions in the National Education System , namely –
government educational institutions;
government-aided educational
isntitutions; and
private educational institutions.
(Educational Act 1996, sec. 16)
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961
menyebut bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan hanyalah meliputi sekolah atau
institusi pendidikan kerajaan atau bantuan sahaja.
"For the purpose of this act, the
stages of statutory education system shall be as follws:
primary education;
lower secondary education;
upper secondary education;
education in the educational
institutions referred to in paragraph (a) to (d) o f section 25.
(Education Act 1961, Sec.19)
- Kedudukan Bahasa Kebangsaan
Dalam hal ini kedua-dua akta telah dinyatakan.
Dalam Akta Pandidikan 1996 dijelaskan dalam seksyen 17 tentang kedudukan Bahasa
Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di semua sekolah atau institusi kecuali
di Sekolah Jenis Kebangsaan atau lain-lain sekolah yang diberi pengecualian. Di
sini soal bahasa telah diperkukuhkan.
" (1) The National language shall
be the main medium of instruction in all educational institutions in the
National Education System except an national-type school established under
section 28 or any other educational intitution exempted by Minister from this
section.
(Education Act 1996, Sec. 17)
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961 Bahasa
Kebangsaan adalah bahasa pengantar sekolah kebangsaan dan sekolah menengah
kebangsaan sahaja.
- Kurikulum kebangsaan
Dalam Akta Pendidikan 1996, seksyen 18
memperuntukkan semua sekolah perlu mengikut kurikulum kebangsaan melainkan yang
dikecualikan. Sedangkan dalam Akta Pelajaran 1961, tiada langsung peruntukan.
" (1) The Minister shall prescribe
a curriculum to be known as the National Curriculum which, subject to
subsection (3), shall be used by all schools in the National Education
System."
(Education Ac 1996, Sec.18)
- Peperiksaan Awam
Dalam seksyen 19 Akta Pendidikan 1996
telah memperuntukkan semua sekolah menyediakan murid untuk peperiksaan awam,
melainkan yang dikecualikan. Manakala dalam Akta Pelajaran 1961 pula tiada
peruntukan diberi.
"Every School shall prepare its
pupils for examinations prescribed by or unfer this Act or any regulations made
under this Act unless otherwise exempted by or under this Act.
(Education Act 1996, Sec.19)
- Bahasa Kebangsaan Sebagai
Mata Pelajaran Wajib
Seksyen 17(2), Akta Pendidikan 1996
memperuntukkan Bahasa Kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah.
(2) Where the main medium of
instruction in an educational institution is other than the national language ,
the national language shall be taught as a compulsory subject in the
educational institution.
(Education Act 1996, Sec.17)
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961,
Bahasa kebangsaan adalah wajib bagi sekolah-sekolah yang dibiayai oleh kerajaan
dan bantuan kerajaan sahaja.
- Pengajaran Bahasa Cina dan
Bahasa Tamil
Dalam seksyen 2 Akta Pendidikan
1996 telah memperuntukkan pengajaran bahasa Cina dan Bahasa Tamil di Sekolah
Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan boleh diadakan dengam satu syarat :
jika ada permintaan 15 orang ibu bapa atau lebih. Dengan ini lebih mudah
mengadakan kemudahan bagi pengajaran bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Manakala Dalam Akta Pendidikan 1961,
Bahasa Cina dan Bahasa Tamil boleh diajar dengan dua syarat:
a. ada
permintaan dari 15 orang ibu bapa
b. jika
didapati munasabah dan praktik.
Di sini menampakkan kepada kita bahawa
Akta Pendidikan 1996 lebih mudah mengadakan kemudahan bagi pengajaran Bahasa
Cina dan Bahasa Tamil.
- Bahasa
Kaum Asli
Akta Pendidikan 1996 telah
memperuntukkan pengajaran bahasa kaum asli dengan dua syarat:
a. jika
ada permintaan dari 15 ibu bapa
b. jika
didapati munasabah dan praktik
Melalui peruntukan ini , telah memberi
pengiktirafan kepada
bahasakaum Bumiputera untuk diperkembangakan.
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961 tiada diperuntukkan.
(ii) the indigenous languages shall be
made avaiable if it reasonale and practicable so to do and if the parents of at
least fifteen pupils in the school so request;
(Education Act 1996,
Sec.2)
- Kategori Sekolah
Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996
memperuntukkan sekolah atau institusi pendidikan dibahagi kepada tiga kategori
: kerajaan, Bantuan kerajaan dan swasta. Manakala dalam Akta Pelajaran 1961
institusi pendidikan atau sekolah dibahagikan secara tidak langsung kepada dua
kategori iaitu bantuan penuh (termasuk kerajaan dan bukan milik kerajaan) dan
swasta.
Klasifikasi institusi pendidikan di
bawah Akta Pendidikan 1996 lebih memudahkan pentadbiran khususnya berkaitan
dengan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.
- Menubuh
dan meyenggara tadika
Dalam seksyen 21 Akta Pendidikan 1996,
memberi kuasa kepada Menteri untuk menubuh dan menyenggara tadika, sedangkan
dalam Akta Pelajaran 1961 perkara ini tidak begitu jelas. Seksyen ini perlu
untuk membolehkan kementerian mengadakan kemudahan prasekolah kepada
kanak-kanak khususnya masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah.
"The Minister may subject to the
provisions of this Act establish and maintain kindergartens"
(Education Act 1996, Sec. 21)
- Kurikulum untuk Tadika
Dalam seksyen 22 Akta Pendidikan 1996
memperuntukkan garis panduan kurikulum untuk tadika bagi menyelaraskan
pendidikan di peringkat tersebut dan wajib digunakan oleh semuua tadika.
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961, garis panduan ini tidak wajib digunakan
bagi semua tadika.
- Tempoh
Pendidikan Rendah
Akta Pendidikan 1996 menyebut dengan
jelas bahawa pendidikan rendah adalah antara 5 hingga 7 tahun (lihat Seksyen
29). Dengan adanya peruntukan ini, dapat menampung keperluan murid cerdas,
sederhana dan lembab.
Dalam Akta Pelajaran 1961 tempoh
pendidikan rendah adalah 6 tahun. Dalam akta ini tempohnya agak ketat.
"A national or national-type
school established under this Act shall provide a course of primary education
designed for duration of six years but which may be completed within to seven
years"
(Education Act 1996, Sec.29)
"national primary school", or
Sekolah kebangsaan, means a fully-assited primary school –
providing a six-year course of primary
edducation appropriate for children between the ages of six and eleven
years;"
(Education Act 1961, Sec.2)
- Pendidikan
Lepas Menengah
Seksyen 33, Akta Pendidikan 1996,
memperuntukkan pendidikan lepas menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan , kolej
atau mana-mana institusi pendidikan lain. Melalui Seksyen ini boleh manampung
dengan jelas kelas tingkatan 6, kelas matrikulasi dan sebagainya. Dalam Akta
Pelajaran 1961, tiada peruntukan yang jelas tentang pendidikan lepas menengah.
- Politeknik Boleh Mengadakan
Kerjasama
Akta Pendidikan 1996 seksyen 37,
membolehkan politeknik mengadakan program kerjasama dengan mana-mana institusi,
perbadanan atau organisasi perindustrian.Manakala seksyen 38 membolehkan
politeknik mengadakan kursus pengajian atau program latihan bersama peringkat
sijil atau lain-lain kelayakan dengan mana-mana universiti atau institusi
pendidikan lain.
Seksyen 37 dan 38 ini amat diperlukan
untuk memenuhi keperluan pembangunan tenaga manusia, berteraskan matematik,
sains dan teknologi serta informasi. Dengan ini wawasan 2020 akan menjadi
kenyataan dan selaras denga itu juga akan lahirnya sebagai sebuah negara maju
setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Tiada Peruntukan berkenaan dengan
perkara ini dalam Akta Pelajaran 1961.
- Pendidikan
Khas
Selaras dengan sebuah negara yang mahu
mewujudkan masyarakat penyayang, maka dalam Akta Pendidikan 1996 telah
diperuntukkan dalam seksyen 40, yang membolehkan Menteri mengadakan pendidikan
khas di sekolah khas atau di mana-mana sekolah rendah atau menengah.
Sedangkan dalam Akta Pelajaran 1961, perkara ini tidak jelas.
- Maktab Perguruan
Melalui seksyen 47 (1) , membolehkan
maktab perguruan (maktab pendidikan) mengadakan kursus peringkat ijazah,
diploma atau sijil dan mengadakan program kerjasama dengan universiti atau
institusi pendidikan tinggi lain. Melalui seksyen ini, selaras dengan hasrat
untuk mempertingkatkan kualiti tenaga pengajar, di sekolah-sekolah. Khususnya
hendak memupuk kepada pengeluaran guru-guru sains, matematik dan IT yang lebihh
banyak selaras dengan kehendak dan perkembangan negara dengan menubuhkan
sekolah bestari dan perkembangan teknologi maklumat yang menjadi sebahagian
dari unsur kemajuan dan ketamadunan sesebuah negara khususnya Malaysia.
Dalam Akta Pelajaran 1961, peruntukan
mengenai pendidikan guru adalah terlalu umum.
- Pengajaran
Agama Islam
Dalam Seksyen 50, Akta Pendidikan 1996
, memperuntukkan supaya Pendidikan Islam wajib diajar di semua sekolah termasuk
sekolah swasta bila terdapat 5 atau lebih murid Islam. Ini amat penting untuk
syiar dan nilai-nilai murni yang sejagat.
Dalam Akta Pelajaran pula menyebut
bahawa Pendidikan Islam diwajibkan apabila terdapat 15 orang atau lebih murid
di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.
- Larangan tentang
Pengendalian Peperiksaan
Seksyen 69, Akta Pendidikan 1996
mengkehendaki semua pihak yang menganjurkan peperiksaan awam mendapatkan
kebenaran dari Pengarah Peperiksaa. Tujuan seksyen ini ialah untuk mengesan
peperiksaan yang dijalankan oleh pihak luar dan melindungi calon-calon dari
tertipu dan mendapat sijil-sijil atau apa-apa anugerah yang tidak diiktiraf
oleh kerajaan.
Perkara yang berkaitan dengan sekyen ini
tiada diperuntukkan dalam Akta Pelajaran 1961.
- Lembaga
Pengelola
Peruntukan dalam seksyen 62, Akta
Pendidikan 1996 , membolehkan Lembaga pengelola sekolah kerajaan yang tidak
berfungsi lagi dimansuhkan kecuali bagi sekolah Jenis Kebangsaan dan sekolah-sekolah
tertentu. Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kerajaan dikekalkan
atas permintaan mereka . Lembaga Pengelola Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah
Swasta memang dikekalkan kerana masih diperlukan.
Dalam Akta Pelajaran 1961, semua kategori
sekolah termasuk sekolah kerajaan perlu menubuhkan lembaga pengelola.
- Program "Twinning" dan "Lingkage"
Dalam seksyen 77 Akta Pendidikan 1996
telah memperuntukkan bahawa isntitusi pendidikan swasta yang menjalankan
program "twinning" dan "lingkage" hendaklah mendapat
kebenaran bertulis dari Menteri terlebih dahulu. Tujuan seklsyen ini ialah
untuk mengawal institusi-institusi pendidikan tinggi swasta yang sedang pesat
menjalankan program "twinning" dan lingkage", selain dari pada
memudahkan ke arah Malaysia sebagai "Centre of Education
Excellence".
Dalam Akta Pelajaran 1961, tiada
peruntukan tentang perkara ini.
- Kuasa
Untuk menyiasat
Seksyen 136 Akta Pendidikan
1996 memberi kuasa kepada Pendaftar untuk menyiasat, seksyen 137 kuasa untuk
masuk tanpa waran, seksyen 138 memulakan dan mejalankan pendakwaan serta kuasa
untuk mengkompaun kesalahan. Dalam ketiga-tiga seksyen ini, Ketua Pendaftar
atau seorang pegawai awam yang diberikuasa bagi maksud itu secara bertulis oleh
Ketua Pendaftar atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari
Inspektor mempunyai kuasa dalam ketiga-tiga perkara dalam ketiga-tiga sekyen
tadi.
Seksyen-syeksen ini akan membolehkan
Pendaftar Besar bertindak dengan lebih cepat dan berkesan terhadap pihak-pihak
yang melakukan kesalahan bagi mengawal kepentingan masyarakat pengguna.
Dalam Akta Pelajaran 1996, tiada
peruntukan-peruntukan seperti ini. Ini adalah merupakan satu pembaharuan untuk
memudahkan penyiasatan dan tindakan diambil kepada mereka yang melanggari akta
ini.
Hubungan Akta Pendidikan 1996 Dengan Pekembangan Sejarah Negara
Akta pendidikan 1996 merupakan
satu kesinambungan dengan Akta Pendidikan 1961, sebagai sebuah Akta untuk
melihatkan negara yang memunyai masyarakat majmuk hidup bersatu padu di bawah
satu bumbung demokrasi melalui perlembagaan yang telah dibuat sebegitu rupa.
Dalam suasana masyarakat majmuk yang mempunyai "ethno-centristic"yang
masyarakatnya mempunyai pelbagai agama, budaya dan fahaman "Cultural
pluralism" tentunya perkara yang berkaitan dengan perpaduan
nasional perlu diambil perhatian dari semasa ke semasa. Unutk mewujudkan proses
pemasyarakatan ini, Pendidikan adalah merupakan satu kaedah terpenting.
Mendaulatkan satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan untuk semua kaum adalah
termasuk dalam ciri ini
Sebagai sebuah negara yang
mempunyai pelbagai bahasa dan kaum, adalah amat wajar bahasa Melayu telah
dipilih untuk menjadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara. Dalam soal
ini sepanjang tempoh negara kita merdeka sampai ke hari perkara ini amat
diambil perhatian. Melalui Akta Pendidikan 1996 dengan jelas telah menyentuh
tentang perkara ini.
Kesan dari tinggalan penjajahan British
dahulu merupakan amat payah untuk kita selesaikan, kerana masyarakat Tanah
Melayu pada waktu itu dibentuk dengan sengaja oleh British untuk kepentingan
politik mereka. Dasar pecah dan perintah yang dijalankan itu, menyebabkan
pemimpin-pemimpin negara sampai sekarang terpaksa memikirkan jalan tebaik untuk
mencapai perpaduan. Dalam aspek ini, adalah diharapkan semoga melalui Akta
Pendidikan 1996 dapat membaiki dan memantapkan perpaduan semua kaum di negara
kita.
Hasrat, perancangan dan strategi
reformasi pendidikan yang terjelma melalui Penyata Razak dan Rahman Talib dulu
telah menampakkan kejayaan . Walaupun tidak sepenuhnya. Dengan cara menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dengan jelas kepada
kita hasrat kerajaan untuk menyetukan kaum dengan menggunakan bahasa Melayu dan
satu bentuk kurikulum yang sama.
Ekoran dari Akta Pendidikan 1961 telah
lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia(1971) yang menjadi bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar. Hal ini telah menampakkan bahasa Melayu bukan sahaja
untuk dijadikan bahasa untuk pembinaan pemuafakatan tetapi juga sebagai bahasa
ilmu. Menjelang tahun 1983, semua kursus di institusi pengajian tinggi
(sastera, Sains, Kejuruteraan, Perubatan , Undang-undang dan sebagainya)
dikehendaki diajar dalam bahasa Melayu kecuali beberapa kursus yang
dilonggarkan penggunaan bahasa pengantar itu. Hal ini kerana semua pelajar yang
memasuki universiti-universiti selepas itu adalah daripada aliran Melayu. Ini
semua adalah wujud hasil dari kesinambungan dari Akta Pendidikan 1961 dan
berdasarkan Laporan Tun Hussein Onn (1971) .
Berikut adalah kronologi kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa di sekolah-sekolah:
1. Merupakan mata pelajaran wajib di
sekolah rendah dan menengah.bahasa pengantar darjah Satu
2. Semua sekolah Inggeris ditukar
menjadi sekolah Rendah Kebangsaan
3. Bahasa pengantar tingkat 1
4. Bahasa pengantar tingkatan VI
aliran sastera
5. Bahasa pengantar jurusan sastera
tahun satu di universiti
6. Bahasa pengantar tingkatan VI
aliran sains
7. Bahasa pengantar semua peringkat
persekolahan
8. Bahasa pengantar semua kursus di
universiti
Perkembangan pendidikan hendaklah
sejajar dengan perkembangan negara. Lantaran itu masyarakat kian maju sesuai
dengan penggunaan sains dan teknologi. Malaysia sebagai sebuah negara baru
tidak kecuali untuk merebut peluang dan berjalan seiring dengan negara-negara
lain. Maka satu pendekatan dalam pendidikan harus diambil, dikaji dan dibina
semula. Sejaran negara telah berkembang ke era Sains dan teknologi. Oleh itu
pelajaran dan kurikulum pendidikan haruslah berkembang selari untuk memenuhi
guna tenaga dan dan melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan. Beberapa
buah sekolah yang bercorak teknik dan vokasional telah ditubuhkan. Kini negara telah mula melangkah ke
tahap yang ketiga, dari dunia pertanian, dunia teknologi, kini zaman dunia teknologi
maklumat ( zaman global) yang memerlu kepakaran dan kecanggihan yang
tersendiri. Oleh itu amat sesuai dengan adanya peruntukan-peruntukan tertentu
yang menyentuh berkenaan dengan insititusi yang berbentuk teknik dan
vokasional, kedudukan maktab perguruan, universiti dan sebagainya. Kesemuanya
di berikan peranan dan kuasa-kuasa tertentu untuk meningkatkan mutu pendidikan
negara sesuai dengan hasrat dan falasafah pendidikan negara kita.
Kini, Melalui Akta Pendidikan 1996,
bukan lagi hanya mahu melihat dalam aspek perpaduan semata-mata tetapi
merupakan satu akta yang berupa agenda negara yang perlu ditunaikan kerana
bukan sahaja ke arah memupuk masyarakat bersatu padu, tetapi turut menjadikan
masyarakat Malaysia sebagai masyarakat penyayang dan berkahlak mulia. Lantaran
itu wjudnya sekolah-sekolah khas seperti yang telah dinyatakan dalam akta
tersebut. Dengan memberi peruntukan-peruntukan tertentu terhadap institusi
pendidikan kita, maka akan lahirlah masyarkat yang serba maju dan serba boleh .
Untuk pengisian agenda negara bukanlah mudah seperti yang termaktub dalam Akta
Pendidikan ini tetapi memerlukajian dari semasa ke semasa agar ia tetapi sesuai
dan mana-mana yang tidak sesuai dalam akta ini perlu diperbetulkan mengikut
kesesuaian.
Komen Terhadap Akta Pendidikan 1996
Akta Pendidikan 1996 telah
menampakkan secara jelas, hala tuju dan wawasan pendidikan kita , tidak seperti
Akta pelajaran 1961 yang jelas hanyalah untuk menyatupadukan kaum di Malaysia.
Hal ini penting pada waktu itu sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan
tugas utama untuk menjaga perpaduan kaum. Akta Pelajaran 1961 adalah sesuai
pada waktu itu dan ia perlu diolah semula mengikut kehendak dan aspirasi
pendidikan masa kini. Lantaran itulah lahirnya Akta Pendidikan 1996 yang lebih
canggih dan dapat mencapai cita-cita negara sekarang, yang mahu menjadikan
pendidikan sebagai asas pembangunan negara yang dilihat bukan sahaja
pembangunan dari segi material tetapi juga emosi dan jasmani serta
intelektualisme individu.
Dengan adanya akta baru ini, maka hasrat
dan cita –cita negara untuk menjadi sebuah negara maju dan berwawasan dapat
dilaksanakan dengan lebih berkesan, dapat melahirkan tenaga kerja dan rakyat
yang mempunyai daya inovatif dan kreatif , turut menyumbang fikiran dan tenaga
dalam mencapai aspirasi negara seperti mana yang termaktub dalam Wawasan 2020.
Walaupun Akta Pendidikan 1996 ini
merupakan satu akta yang dapat kita katakan boleh memenuhi cita rasa dan
aspirasi negara tetapi dalam beberapa aspek dan sudut tertentu ia boleh
diperbaiki lagi.
Dalam seksyen 136, 137 dan 138 yang
memberi kuasa begitu besar dan longgar kepada Ketua Pendaftar dan pegawai polis
yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor untuk menyiasat, memasuki premis
dan membuat dakwaan walaupun tanpa waran dari mahkamah merupakan satu perkara
yang boleh ddikaji semula kerana seolah-olah autoriti dan kuasa yang ada atau
diberikan kepada pengetua atau tuan punya premis tercabar dan boleh menjejaskan
reputasi pendidikan negara. Waupun ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan
dan kepentingan pelajar dan mutu pendidikan tetapi kekerasan untuk memasuki
premis pendidikan oleh pihak berkuasa itu hendaklah dikaji semula. Kehadiran
dan penggelidahannya di premis pendidikan itu tanpa waran dapat dianggap
sebagai satu bentuk kekasaran.
Dalam soal bahasa bukan bahasa ibunda
teutama sekali bahasa Arab (sebagai bahasa Al-Quran) tidak disentuh dengan
jelas dalam akta ini, tidak seperti bahasa-bahasa lain yang merupakan bahasa
ibunda kaum di Malaysia. Hanya tercatat dalam seksyen 2 , perkara (iii), Akta
Pendidikan 1996 yang berbunyi:
Arabic,
Japanese, German or French or any other foreign language may be made available
if it reasonable and practicable so to do;
Bahasa Arab sebagai bahasa untuk
memperkembangkan agama Islam sepatutnya diberi penekanan selaras dengan Islam
sebagai agama rasmi negara. Malah bahasa Arab juga adalah merupakan satu bahasa
ilmu yang kita tidak boleh anggap ringan. Sejarah perkembangan dan ketamadunan
khususnya tamadun Islam amat perlu kepada bahasa tersebut supaya ilmu yang
dimilik terutama oleh orang-orang Islam bukan hanya perlu merujuk kepada
golongan orientalis. Rujukan-rujukan agama Islam adalah tidak lepas dan tidak
sudah tanpa menggunkan bahasa Arab.
Peruntukan-peruntukan yang membenarkan
bahasa lain sebagai bahasa pengantar di institusi pendidikan melalui akta ini
sepatutnya disemak semula. Misalnya kedudukan sekolah-sekolah ekspatriat begitu
bebas, tidak terikat dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan, seperti yang terdapat
dalam Seksyen 15.
Begitu juga dalam seksyen 23, yang
membicarakan tentang kedudukan bahasa pengantar di sekolah tadika. Manakala
dalam seksyen 17 perkara 1 , Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa
pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan
kebangsaan, tetapi ada juga kekecualian yang diberi iaitu sekolah kebangsaan
yang ditubuhkan dibawah seksyen 28 atau mana-mana pendidikan lain yang
dikecuali oleh Menteri. Di sini menampakkan kepada kita kedudukan bahasa
kebangsaan masih lagi belum mantap sepenuhnya dalam Akta ini.
Kesan daripada membenarkan
bahasa-bahasa lain menjadi bahasa pengantar, maka kita dapati 1,290 buah
sekolah Kebangsaan Cina dengan 580,000 murid dan 550 buah Sekolah Kebangsaan
Tamil dengan 96,000 pelajar terus menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Manakala 250 buah institusi pendidikan tinggi swasta terus menggunakan Bahasa
Inggeris. (Datuk Zainal Abidin A. Wahid, 1999).
Menurut Datuk Zainal Abidin bin A.
Wahid lagi, Pada tahun 1997, iaitu terdapat 84,000 pelajar di Institu
Pendidikan Tinggi Swasta. Dari jumlah tersebut cuma 5 peratus sahaja pelajar
Melayu dan di IPTA jumlah pelajar bumiputera adalah 55 peratus dan bukan
bumiputera 45 peratus.
Isu bahasa mempunyai perkaitan yang
rapat dengan perpaduan. Perpaduan yang wujud sekarang memang telah jauh
berubah, namun usaha-usaha memupuk dan meningkatkan perpaduan merupakan agenda
penting. Jika pengabaian isu bahasa boleh menjejaskan perpaduan kerana keadaan
ini boleh merosotkan nilai ekonomi bahasa Melayu, boleh menjejaskan tata bahasa
rasmi dan bahasa perpaduan, memburukkan lagi ketidakseimbangan dari segi
penyediaan tenaga iktisas di kalangan bumiputera. Pengabaian bahasa juga boleh
menjejaskan perpaduan negara kerana akan memperluaskan lagi jurang
ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, juga mengakibatkan muculnya dua atau
tida kumpulan pelajar ; aliran kebangsaan, aliran Inggeris dan aliran Cina.
Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh
Hamzah telah membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 di dewan Rakyat,
pada 18 Disember 1995 (yang menjadi Akta Pendidikan sekarang). Di antara
kata-kata beliau ialah:
"………..Inilah yang tersurat di dalam seksyen 17 (1) rang undang-undang ini.
Seksyen ini menyatakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar
utama, tetapi seksyen ini juga turut memberi kuasa kepada menteri untuk
mengecualikan penggunaanya oleh mana-mana institusi pengajian kita.
Apakah makna kata-kata ini? Apakah ia
melambangkan kesungguhan untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan atau ia permulaan
sikap tolak ansur kita dan seterusnya mebenarkan kedudukan Bahasa Kebangsaan
kita musnah? Atauu ia permulaan kepada usaha untuk melenyapkan cita-cita
Allahyarham Tun Razak untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
pengantar di semua peringkat?
Bahasa kebangsaan yang bererti bahasa
Melayu seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan , perkara 152
hendaklah menjadi teras dan asas dalam memantapkan perpaduan dan pendidikan
negara. Oleh itu perkara yang longgar berkenaan dengan isu ini hendaklah perlu
dikaji semula.
Dalam Akta Pendidikan 1996, apa yang
nampak kura selesa ialah dari segi kuasa yang diberikan kepada Menteri. Begitu
banyak kuasa yang diberikan. Sehingga menampakkan bahawa kuasanya bboleh
menghapuskan kemurniaan Akta Pendidikan itu. Kuasa Menteri seperti mana dalam
seksyen 143 dalam akta ini adalah dikira begitu besar:
Menteri
boleh, jika difikirkannya wajar dan demi kepentingan sesuatu institusi
pendidikan atau demi kepentingan murid atau awam, melalui perintah yang
disiarkan dalam warta, mengucualikan institusi pendidikan atau mana-mana
golongan atau golongan-golongan institusi pendidikan daripada semua atau
mana-mana peruntukan Akta ini kecuali peruntukan pendaftaran, sama ada secara
mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan patut dikenakan,
dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian
itu atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu.
Walaupun ada beberapa perkara yang
boleh diperbincangkan lagi terhadap beberapa keratan atau seksyen, tetapi
ternyata ia adalah merupakan satu perundangan yang dapat menggambarkan hasrat
negara. Dengan harapan melalui akta ini akan dapat melahirkan satuu corak
pendidikan yang unggul dan menjadi kebanggaan bukan sahaja di negara kita
bahkan di seluruh dunia. Sesungguhnya ciri-ciri lama untuk menyatupadukan kaum
masih terkandung dalam Akta baru ini dan gabungjalin di antara hasrat Akta
Pelajaran 1961 dengan hasrat yang dibincangkan itulah maka lahirnya satu bentuk
kurikulum pendidikan yang canggih dan telah mulai dirasai oleh rakyat kini.
Namun usaha-usaha penyemakan terhadap kedudukan bahasa Melayu (Bahasa
Kebangsaan di institusi pendidikan, kedudukan institusi pendidikan dan
kuasa-kuasa menteri dan kuasa penyiasat yang tidak memerlukan waran untuk
memasuki premis dan kuasa penggeledahan adalah difikirkan patut disemak semula.
Ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga kemurnia Akta Pendidikan
itu sendiri dan mancapai matlamat pendidikan negara dan Wawasan 2020.
Rujukan:
- Akta Pendidikan 1961,
International Law Book Service, Kuala Lumpur, 1984
- Akta Pendidikan 1996, International Law Book Service, Kuala Lumpur, 1998
- Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, Kementerian
Pelajaran Malaysia , Kuala Lumpur, 1988
- Hamedi Mohd Adnab, Bahasa Melayu STPM ,Nurin
Enterprise, Kuala Lumpur, 1994
- Shahril @ Charil Marzuki, Zainun Ishak, Leo Pau Wing,
Dr.Saedah Hj. Siraj, Pendidikan di Malaysia, Utusan
Publication,